BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Nuffnang

Tuesday, March 29, 2011

Hak & Tanggungjawab Selepas Perceraian

Pendahuluan

Di dalam buku karangan Profesor Ahmad Salbi yang bertajuk “Masyarakat Islam” mencatatkan bahawa satu perubahan besar setelah Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah ialah baginda mengangkat darjat kaum wanita setinggi-tingginya kerana kaum wanita adalah ibu, isteri dan pendidik. Wanita mempunyai hak-hak warisan, mendapat pahala sama seperti lelaki dan dikasihi dan disayangi.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ بِوَٲلِدَيۡهِ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُ ۥ وَهۡنًا عَلَىٰ وَهۡنٍ۬ وَفِصَـٰلُهُ ۥ فِى عَامَيۡنِ أَنِ ٱشۡڪُرۡ لِى وَلِوَٲلِدَيۡكَ إِلَىَّ ٱلۡمَصِيرُ (١٤(

“Dan Kami perintahkan kepada manusia terhadap kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah lemah dan menyusukannya 2 tahun”. (Luqman:14)

“Hadith riwayat Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w ditanya siapakah orang yang paling layak dijadikan kawan baiknya, baginda menjawab: “Ibuku, ibumu, ibumu kemudian ayahmu”. (Mutafaq Alaih).

Wanita telah diangkat martabatnya oleh Islam namun peredaran zaman dan perubahan kehidupan telah membebankan golongan wanita terutama mereka yang menghadapi masalah rumahtangga. Mereka hidup dalam persekitaran yang dipenuhi dengan banyak cabaran dan dugaan. Ada wanita yang digantung tidak bertali sehingga 10 tahun atau lebih. Mereka terpaksa naik turun mahkamah selama bertahun-tahun tanpa hasil, sedangkan anak terpaksa disara dalam keadaan nafkah tidak diberikan oleh suami. Suami pula ada yang melepaskan hak dan tanggungjawab mereka sesuka hati.

Di negara kita, kes-kes tergantung di Mahkamah Syariah meningkat sehingga 70,000 kes. Masalah undang-undang atau layanan terhadap wanita ini sebenarnya tidaklah serumit mana sekiranya semua pihak kembalikan semangat Islam dalam erti yang sebenarnya. Di sisi Islam, isteri mempunyai hak-haknya yang tersendiri. Namun begitu, masih ramai yang tidak tahu haknya terutama ketika memohon perceraian ataupun selepas diceraikan.[1]

Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:

أَسۡكِنُوهُنَّ مِنۡ حَيۡثُ سَكَنتُم مِّن وُجۡدِكُمۡ وَلَا تُضَآرُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُواْ عَلَيۡہِنَّ‌ۚ وَإِن كُنَّ أُوْلَـٰتِ حَمۡلٍ۬ فَأَنفِقُواْ عَلَيۡہِنَّ حَتَّىٰ يَضَعۡنَ حَمۡلَهُنَّ‌ۚ فَإِنۡ أَرۡضَعۡنَ لَكُمۡ فَـَٔاتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ‌ۖ وَأۡتَمِرُواْ بَيۡنَكُم بِمَعۡرُوفٍ۬‌ۖ وَإِن تَعَاسَرۡتُمۡ فَسَتُرۡضِعُ لَهُ ۥۤ أُخۡرَىٰ (٦(

“Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal mengikut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu (anak-anak) mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan menyawarahkanlah antara kamu segala sesuatu dengan baik dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya”.

(Al-Talaq: 6)

Demikianlah Allah s.w.t memberi panduan mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami. Ini bermakna tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak bukan sahaja semasa hidup bersama tetapi juga selepas bercerai dengan isteri. Seseorang wanita yang diceraikan oleh suaminya boleh membuat tuntutan ke atas bekas suaminya di Mahkamah Syariah.

Namun demikian, pihak lelaki atau suami juga mempunyai hak yang tertentu selepas perceraian. Seperti tuntutan hadhanah, hak melawat anak dan sebagainya. Sama juga dengan anak, di mana anak juga mempunyai hak yang setimpal selepas ibubapanya bercerai.

Hak Dan Tanggungjawab Selepas Perceraian

Tuntutan-tuntutan hak tersebut adalah seperti berikut:

1) Tuntutan Mutaah

Mutaah juga adalah nama bagi harta yang diberikan oleh suami kepada isterinya dengan sebab perceraian. Menurut Imam Syafie, mutaah merupakan harta wajib diberikan oleh suami kepada isterinya yang diceraikan hidup sama ada dengan talak atau seumpamanya dengan syarat-syarat tertentu. Ia merupakan pemberian hadiah daripada suami untuk mengembirakan hati isteri yang mungkin terluka. Tetapi, menurut pendapat jumhur ulama’, pemberian mut’ah daripada seorang suami kepada seorang isteri hukumnya adalah sunat.

Seorang isteri yang diceraikan boleh membuat tuntutan mutaah dalam beberapa keadaan seperti isteri yang telah dikahwini tetapi diceraikan sebelum berlakunya persetubuhan dan jumlah mahar belum ditentukan, isteri yang telah dikahwini berserta penentuan jumlah mahar dan telah berlaku persetubuhan antara suami isteri tersebut kemudian diceraikan, isteri yang tafwid (suami memberi kuasa talak kepada isteri), telah ditentukan mahar dan telah berlaku persetubuhan suami isteri, dan isteri yang telah dikahwini tanpa penentuan jumlah mahar.[2]

Dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat mengenai mutaah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

وَلِلۡمُطَلَّقَـٰتِ مَتَـٰعُۢ بِٱلۡمَعۡرُوفِ‌ۖ حَقًّا عَلَى ٱلۡمُتَّقِينَ (٢٤١(

“Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) mutaah menurut yang ma’ruf sebagai suatu kewajipan bagi orang-orang yang bertaqwa”. (Al-Baqarah: 241)

Mutaah itu boleh diberi dalam bentuk pakaian, barang-barang atau wang sesuai dengan keadaan dan kedudukan suami. Islam tidak menetapkan kadarnya dan ia bergantung kepada keredhaan dan persetujuan suami isteri, maka Mahkamah Syariah akan memutuskan kadar yang patut berdasarkan kemampuan suami.

Pada dasarnya tidak ada suatu penentuan mutlak tentang kadar ini oleh syarak. Menurut satu pendapat daripada mazhab Imam Syafie, kadar minimum mutaah ialah 30 dirham dan harus memberi mutaah lebih separuh daripada kadar mahar. Sekiranya berlakunya perselisihan antara pihak isteri dan pihak suami tentang kadarnya, maka hakim yang akan menentukan secara ijtihad dengan mengambil kira beberapa faktor. Antara faktor berkenaan adalah seperti taraf kehidupan suami, sama ada miskin, sederhana atau kaya, dan juga berkeadaan dari segi nasab dan sifat-sifatnya.

Peruntukan tersebut menyatakan dalam seksyen 56 bahawa:

Selain daripada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian sagu hati kepada mahkamah, dan mahkamah boleh, selepas mendengar keterangan daripada pihak yang terlibat dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut hukum syarak.

Jelas berdasarkan peruntukan tersebut, seorang isteri yang diceraikan hanya berhak menuntut mutaah daripada suaminya jika dia diceraikan tanpa sebab yang munasabah. Sekiranya perceraian itu berpunca daripada pihak isteri ataupun jika isteri itu bercerai dengan suaminya secara fasakh disebabkan aib atau kecatatan isteri ataupun isteri murtad maka dia tidak berhak menuntut mutaah daripada bekas suaminya.

Contoh Kes Tengku Anum Zaharah lwn Dato’ Dr. Hussein (1980, Jld. 3 J.H.). Peguam bagi pihak menuntut (isteri) telah merujuk kepada kes Hasan bin Ali bin Ali bin Abi Talib yang mana semasa beliau menjadi khalifah telah menceraikan isterinya dan memberi 10,000 dinar sebagai mutaah.

Peguam itu berhujah pihak yang kena tuntut (suami) seorang yang berkemampuan. Yang Arif Kadi Besar Selangor (pada masa itu) telah merujuk surah Al-Ahzab dan memutuskan pihak yang menuntut (isteri) berjaya menuntut mutaah sebanyak RM25, 200 sebagaimana yang dituntutnya.[3]

Antara hikmah Islam mengadakan dan mensyariatkan mutaah ialah:

Untuk meringankan bebanan wanita serta untuk menghiburkan hati mereka serta menghormati mereka setelah berlakunya perceraian dengan suami mereka, kerana perceraian adalah suatu perkara yang besar dalam hidup perempuan dan mereka bagaikan hilang separuh tempat bergantung.[4]

2) Tuntutan Nafkah Sewaktu ‘Iddah

Nafkah dari segi bahasa bererti mengeluarkan dan membelanjakan. Manakala dari segi istilah, ia membawa maksud mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada mereka yang wajib atas seseorang untuk membiayainya. Wanita yang diceraikan pada asasnya berhak mendapat nafkah dalam masa ‘iddahnya serta menuntut nafkah tertunggak sekiranya ada daripada bekas suaminya, bergantung kepada beberapa syarat. Nafkah yang dimaksudkan termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, dan belanja perubatan. Kewajiban dalam memberi nafkah termaktub dalam Al-Quran.

Allah s.w.t telah berfirman:

وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُ ۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُہُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِ‌ۚ

“Dan kewajiban bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” (Surah Al-Baqarah : 233)

Bagi nafkah isteri, ia hanya akan menjadi wajib apabila memenuhi syarat-syarat iaitu perkahwinan yang sah di sisi syarak, tercapainya maksud perkahwinan iaitu berlakunya persetubuhan antara suami dan isteri tersebut dan isteri mentaati suaminya mengikut kehendak syarak. Selain itu, suami berhak merujuk isterinya itu pada bila-bila masa sama ada dengan persetujuan isterinya atau tidak, dengan pengetahuannya atau tidak, dengan syarat selagi tempoh ‘iddah belum tamat. Isteri hendaklah taat dan patuh kepada suami iaitu tidak nusyuz.

Menurut kitab Kifayah Al- Akhyar Juz 29 halaman 48 mengatakan:

“Apabila seseorang isteri nusyuz maka gugurlah hak isteri untuk menerima nafkah, pakaian dan giliran.”

Hak nafkah seorang isteri akan gugur jika isteri enggan berpindah ke rumah yang disediakan oleh suaminya, jika isteri itu akur berpindah tetapi kemudiannya dia keluar daripada rumah tersebut dan tidak pulang selepasnya tanpa sebab yang munasabah menurut syarak dan jika isteri bermusafir tanpa keizinan suaminya walaupun tujuan musafir kerana Allah seperti mengerjakan haji atau umrah.[5] Seseorang isteri yang diceraikan oleh suami selepas disetubuhi, wajib ber’iddah raj’ie ini, suami dan isteri berfikir panjang dan merasa bagaimana pahit getirnya perceraian. Dalam menentukan sama ada seseorang wanita yang diceraikan itu berhak mendapat nafkah seperti yang ditentukan atau tidak, perlu dilihat juga bentuk ‘iddah yang mereka lalui iaitu ‘iddah talak raj’ie atau ‘iddah talak ba’in.

Para fukaha bersepakat mengatakan bahawa isteri yang melalui ‘iddah ra’jie berhak mendapat kesemua jenis nafkah seperti mana nafkah yang diterimanya semasa dalam perkahwinan kecuali dia diceraikan dalam keadaan nusyuz. Antara nafkah tersebut ialah nafkah makanan, pakaian dan tempat tinggal. Hak ini akan diberhentikan sebaik sahaja tempoh ‘iddah tamat. Bagi wanita yang dalam ‘iddah talak ba’in pula, umumnya para fukaha berpendapat sekiranya wanita itu tidak hamil, para fukaha berbeza pendapat dalam menentukan nafkah ke atasnya.

Menurut mazhab Syafie dan Maliki, wanita yang dalam ‘iddah ba’in serta tidak hamil hanya berhak mendapat tempat tinggal sehingga ‘iddahnya selesai. Sekiranya isteri yang diceraikan dan hamil, maka wajib suami memberi nafkah makanan, pakaian dan tempat tinggal. Pada dasarnya, kadar nafkah bagi wanita yang diceraikan sama seperti apa yang telah diberikan kepadanya semasa tempoh perkahwinan yang sedang berjalan. Penentuan kadar nafkah berdasarkan kemampuan suami iaitu melihat keadaan kehidupan serta tanggungannya. Pendapat para fukaha terhadap pasangan ‘cerai mati’ mengikut pada kebiasaanya, isteri yang kematian suami boleh membuat tuntutan pusaka ke atas harta peninggalan suami dan tanggungjawab suami itu dianggap terhapus.[6]

3) Tuntutan Hadhanah (Hak Jagaan Anak)

Hadhanah dari segi bahasa bererti menjaga dan mengasuh anak kecil dengan menanggung nafkah dan mendidiknya. Ia juga membawa maksud memegang anak dan mendidiknya sejak awal kelahirannya lagi. Menurut istilah syarak pula, hadhanah bererti mendidik dan mengasuh anak oleh sesiapa yang diberikan hak hadanah oleh syarak kepadanya. Ia juga bermaksud mengasuh dan menjalankan urusan dirinya daripada perkara-perkara yang boleh menyakitkannya kerana ia belum cerdik seperti kanak-kanak ataupun orang dewasa tetapi tidak waras dan lemah daya pemikirannya.

Kesimpulannya, hadhanah bermakna pemeliharaan anak lelaki dan perempuan yang masih kecil yang belum boleh berdikari, menjaga kepentingan anak, melindunginya dari segala yang membahayakan dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya si anak dapat berkembang dan dapat mengatasi persoalan hidup yang akan dihadapinya. Hukum hadhanah ke atas kanak-kanak kecil adalah wajib. Pengabaian terhadap diri kanak-kanak itu bererti mendedahkannya kepada bahaya dan kebinasaan. Kewajiban tersebut lebih utama kepada seseorang yang telah diberi hak hadhanah sama ada ibu, bapa atau penjaga yang berhak.[7]

Persoalan yang timbul ialah siapa yang berhak memelihara dan menjaga anak jika ibu bapa bercerai? Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar yang bermaksud:

“Bahawasanya seorang perempuan telah datang menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya: Ya Rasulullah, bahawa anakku ini perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku.”Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain.” (Riwayat Abu Daud)

Hak hadhanah akan terlucut sekiranya si isteri itu gugur salah satu syarat berikut:

“Dan syarat-syarat hadhanah itu tujuh perkara iaitu berakal, merdeka, beragama, lemah lembut, amanah, tidak bersuami dan bermukim. Sekiranya kurang salah satu maka gugurlah hak hadhanah itu.”

Ini bermakna anak-anak yang belum mumayyiz diserah kepada ibunya. Bagaimana pula yang telah mencapai had umur mumayyiz?

Berdasarkan maksud Seksyen 84(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, dianggap belum mumayyiz bagi kanak-kanak lelaki ialah daripada bayi hingga berumur 6 tahun. Manakala kanak-kanak perempuan pula daripada bayi hingga berumur 8 tahun. Ini bermakna kanak-kanak lelaki telah mencapai umur 7 tahun dan kanak-kanak perempuan telah mencapai umur 9 tahun dianggap mumayyiz. Walau bagaimanapun dalam Seksyen 84 (2) keputusan yang dibuat oleh anak tidak mutlak kerana mahkamah boleh memerintahkan keputusan yang berlawanan dengan pilihan anak.[8] Faktor-faktor yang menentukan atau yang harus dipertimbangkan apabila ibubapa menuntut hak penjagaan anak-anak ialah:

· Umur dan kesihatan anak tersebut

· Jantina anak

· Cara/corak hidup ibubapa

· Pertalian emosi antara ibu dan anak

· Keupayaan ibu atau bapa memberi penjagaan rapi (makanan, pakaian, perubatan)

· Pilihan (preference) anak-anak jika anak melebihi umur 12 tahun[9]

Sebaik sahaja seorang anak itu dilahirkan ke dunia, kedua-dua ibu bapa mempunyai hak yang sama dalam memastikan anak mereka mendapat jagaan serta didikan sempurna. Walau bagaimanapun, perhatian yang lebih wajar hendaklah hadir daripada pihak ibu kerana biasanya ibulah yang mempunyai masa terluang lebih daripada bapa, apatah lagi bagi ibu yang tidak berkerja. Para fukaha telah bersepakat mengatakan bahawa ibu merupakan orang yang lebih berhak terhadap hadhanah berbanding dengan pengasuh lain.

Meskipun ibu diberi keutamaan dalam penentuan hak penjagaan, ia tertakluk kepada beberapa syarat yang mesti dipenuhi. Menurut mazhab Syafie, syarat-syarat yang dimaksudkan ialah merdeka, berakal (seorang yang gila, sama ada gila secara berterusan ataupun gila secara sekejap-sekejap adalah tidak layak mendapat hak hadhanah), adil, amanah, berbudi, beragama Islam, tidak berkahwin lain melainkan lelaki yang menjadi kerabat kepada kanak-kanak tersebut dan mesti seorang yang boleh menyusukan anak tersebut sekiranya si anak masih menyusu.

Hak jagaan terhadap seseorang pada umumnya akan tamat sebaik sahaja dia mampu menguruskan dirinya sendiri dan tidak memerlukan bantuan daripada orang lain. Ada sesetengah ulama’ yang menetapkan umur mumayyiz sebagai tamat tempoh penjagaan. Apabila tempoh hak hadhanah ibu berakhir, kanak-kanak akan diberi pilihan sama ada hendak terus tinggal dengan jagaan ibunya atau tinggal di bawah jagaan bapanya. Pemberian peluang untuk memilih ini berdasarkan kepada hadith Rasulullah s.a.w:

“Seorang perempuan telah datang kepada rasulullah dan berkata, “wahai Rasulullah, sesungguhnya suamiku hendak membawa anakku pergi padahal dialah yang mengambil air untukku dari perigi Abu ‘Unbah dan sesungguhnya dia berguna sekali kepadaku.” Maka Rasullah bersabda, “ Ini ayahmu dan ini ibumu, pilihlah mana yang kamu suka.” Lalu si anak memilih ibunya. Maka berjalanlah perempuan itu membawa anaknya.

Menurut imam Al-Nawawi dalam kitabnya Minhaj Al-Talibin, sekiranya seorang kanak-kanak lelaki memilih untuk berada di bawah penjagaan ibunya, dia akan bersama ibu pada malam hari dan pada siangnya kanak-kanak itu bersama bapanya. Hal ini bagi memudahkan si bapa mengajarkan hal-hal kehidupan dan akhlak seorang lelaki. Bagi anak perempuan pula, jika dia memilih berada di bawah penjagaan ibunya, siang dan malam dia akan bersama ibunya dengan hak melawat tetap diberi kepada pihak bapa. Walau bagaimanapun, seandainya terdapat kanak-kanak yang memilih ibu dan bapanya serentak, maka kadi hendaklah membuat undian. Jika kanak-kanak itu sakit, ibulah yang paling berhak untuk merawat meskipun pada masa itu dia berada di rumah bapanya.

Upah hadhanah ditanggung oleh bapanya jika kanak-kanak itu tidak mempunyai harta. Upah tersebut termasuk dalam nafkah anak. Walau bagaimanapun jika kanak-kanak itu mempunyai harta maka upah bagi hadhanahnya hendaklah diambil daripada harta tersebut. Seorang ibu tidak berhak untuk menuntut upah hadhanah sekiranya dia masih dalam ikatan perkahwinan. Walaupun anak itu di bawah hadhanah isteri, namun pada asasnya bapa bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak. Namun begitu, ia tertakluk kepada beberapa syarat iaitu bapa mampu memberi nafkah, anak itu tidak mempunyai harta benda yang boleh dijadikan sumber untuk menanggung nafkahnya, anak itu masih kecil dan anak itu seorang yang merdeka dan bukannya hamba.

Sekiranya seorang kanak-kanak itu itu masih menyusu, dan dia disusukan oleh wanita lain selain ibunya sendiri, maka upah menyusu ditanggung oleh bapa atau pihak lain yang bertanggungjawab terhadap nafkah anak tersebut. Menurut pendapat mazhab Syafie, ibu diwajibkan menyusukan anak pada awal kelahiran. Pada waktu demikian suatu peringkat penyusuan yang dikenali dengan laba’ akan keluar sebaik sahaja bayi dilahirkan.

4) Tuntutan Nafkah Anak

Dalam Islam hak mendapat kehidupan bagi si anak merupakan hak anak yang tidak boleh diganggu dan disekat. Hak hidup itu juga bererti menjadi kewajipan orang tua memelihara dan memberi bekal ilmu kepada anak sehingga anak itu boleh berdikari. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

فَإِنۡ أَرۡضَعۡنَ لَكُمۡ فَـَٔاتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ‌ۖ

“Kalau mereka itu (bekas isterimu) menyusukan anakmu maka berilah upah mereka.” (Al-Talaq:6)

Daripada sebuah hadith bahawa Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:

“Hindun pernah bertanya; “Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufian (suami Hindun) seorang yang bakhil. Ia tidak pernah memberi belanja kepadaku yang dapat mencukupi diriku dan anakku kecuali apa yang aku ambil dari hartanya itu, sedangkan ia tidak mengetahuinya. Kemudian Rasulullah s.a.w menjawab; “Ambillah apa yang sekiranya boleh mencukupi dirimu dan anakmu dengan cara yang makruf.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan dalil-dalil di atas ternyata seorang bapa wajib memberi nafkah untuk anak-anaknya dengan syarat:

1. Bahawa anak itu belum boleh berdikari. Bagi anak perempuan sehingga ia berkahwin atau sehingga ia ada pekerjaan.

2. Bahawa anak itu miskin tidak mempunyai harta sendiri untuk menafkahkannya

3. Bapa itu mampu memberi nafkah.

Apabila anak itu telah baligh dan boleh berdikari maka tidak wajib lagi memberi nafkah untuk anak itu. Begitu juga jika anak itu mempunyai harta sendiri meskipun masih kecil maka bapa tidak wajib memberi nafkah kepadanya anaknya. Pendapat ini adalah sepakat ulama’.[10]

5) Tuntutan Harta Sepencarian

Tuntutan harta sepencarian adalah lebih berdasarkan kepada undang-undang adat Melayu. Oleh kerana prinsip harta sepencarian tidak berlawanan dengan kehendak syariah maka peruntukan harta sepencarian diterima sebagai sebahagian daripada Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia. Harta sepencarian bermaksud harta yang diperolehi sepanjang masa perkahwinan seorang suami dengan isteri hasil daripada sumber atau daripada usaha mereka bersama.

Merujuk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang sedang berkuat kuasa di negeri-negeri sekarang, terdapat sedikit perbezaan di beberapa negeri tentang takrif harta sepencarian ini. Bagi negeri Kelantan, Pahang, dan Perak, ia ditakrifkan sebagai pendapatan atau harta yang didapati daripada usaha bersama di antara suami dan isteri, dan termasuklah pendapatan yang didapati daripada modal yang diperolehi daripada usaha mereka bersama. Manakala bagi negeri-negeri lain, harta sepencarian bererti harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak.

Walaupun harta sepencarian diasaskan kepada adat bukan kepada syarak, ia tidak bermakna bahawa perkara itu tidak termasuk dalam mana-mana kategori hukum. Hal ini disebabkan amalan individu, kelompok, mahupun masyarakat tetap tunduk kepada satu daripada tiga kategori iaitu harus atau tidak harus, boleh atau tidak boleh ataupun yang ketiga, penerimaan dengan pindahan.

Pada mulanya ianya dikenali sebagai adat yang diamalkan oleh orang melayu khususnya, dan orang Islam di Malaysia, Indonesia, dan Singapura. Malah pengiktirafan adat yang menjadi hukum tersebut jelas dapat kita lihat menerusi kaedah perundangan Islam sebagaimana dikemukan oleh Al-Suyuti dalam kitab Al-Asybah Wa Al-Naza’ir yang bermaksud adat mengambil tempat hukum dan sesuatu yang diterima mengikut adat samalah kedudukannya seperti suatu yang dibuat mengikut syarak.

Berdasarkan kes-kes tuntutan yang dibawa ke mahkamah syariah pada masa sekarang, jenis-jenis harta yang termasuk dalam harta sepencarian nampaknya semakin pelbagai, selari dengan perkembangan semasa. Jenis-jenis harta yang biasa dibuat tuntutan ialah rumah kediaman, kenderaan, tanah, sawah, kebun, rumah kedai, bangunan, wang pampasan tanah, perabot, barang elektrik, peralatan rumah, barang kemas, saham dan wang dalam akaun simpanan bersama. Jelasnya, jenis-jenis harta yang menjadi tuntutan tidak terhad melainkan harta itu berjaya dibuktikan telah diperolehi sepenuhnya sebelum perkahwinan atau harta itu termasuk dalam harta yang wajib dibahagikan mengikut sistem faraid.

Tuntutan harta sepencarian biasanya dibuat oleh pihak isteri. Walau bagaimanapun, sebenarnya pihak suami juga berhak menuntut perkara yang serupa. Oleh yang demikian, pihak-pihak yang mempunyai bahagian dalam harta tersebut tidak kira sama ada pihak suami atau isteri boleh menuntut hak masing-masing berserta keterangan dan bukti. Pada dasarnya tidak terdapat suatu ketetapan yang pasti, berhubung dengan kadar pembahagian sama ada untuk isteri ataupun suami bagi harta sepencarian. Apa yang diambil kira dalam penentuan kadar bahagian-bahagian tersebut berdasarkan tahap sumbangan isteri atau suami dalam pemilikan harta yang dituntut. Selain itu, dalam membuat apa jua tuntutan tentang harta sepencarian, pihak yang terlibat hendaklah betul-betul memastikan haknya dan jangan sampai dia mengambil hak orang lain walaupun milik bekas isteri atau suami.[11]

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ۬ مِّمَّا ٱڪۡتَسَبُواْ‌ۖ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٌ۬ مِّمَّا ٱكۡتَسَبۡنَ‌ۚ وَسۡـَٔلُواْ ٱللَّهَ مِن فَضۡلِهِۦۤ‌ۗ

“Orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan.” (An-Nisa’:32)

Dalam ayat ini dapat kita fahami bahawa hak wanita dalam harta benda itu bergantung daripada apa yang diusahakan. Menurut akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, harta sepencarian ditakrifkan sebagai:

“Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak.”

Menurut Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (ketika itu) memutuskn kes Piah bt. Said lwn Che Lah bin Awang, harta sepencarian ditakrifkan sebagai:

“Harta yang diperolehi bersama-sama suami isteri itu hidup bersama dan berusaha sama ada kedua-dua pasangan itu bersama-sama bekerja dalam bidang yang sama atau dalam bidang yang berlainan dan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi sama ada dibahagikan tugas atau tidak.”

Persoalan yang timbul bagaimana prinsip harta itu dibahagikan?

Menurut Yang Arif Dato’ Wan Ismail bin Mohammad Salleh ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan terhadap kes Anita binti Abdullah lwn zainuddin hj. Ariffin menyatakan:

1) Jika ada keterangan yang cukup siapa yang mengusahakan harta itu maka hasil itu terpulang kepadanya.

2) Jika tidak ada keterangan yang cukup di atas usaha masing-masing, mereka dikehendaki bersumpah. Apabila bersumpah semuanya, maka harta itu dibahagikan sama banyak juga. Jika semuanya enggan bersumpah maka harta itu terpulang semua kepada yang bersumpah. Jika salah seorang atau semuanya telah mati maka hukum bersumpah itu dipertanggungjawabkan ke atas waris si mati sekiranya waris itu menuntut.

3) Jika berlaku adat kebiasaan bahawa salah seorang daripada suami itu berusaha lebih dari yang lain maka persetujuan pembahagian hendaklah mengikut adat kebiasaan itu. Jika persetujuan tidak didapati maka pembahagiannya adalah seperti (a) dan (b) di atas.[12]

6) Tunggakan Hutang

Selain daripada itu, seseorang isteri boleh membuat tuntutan hutang ke atas bekas suaminya jika didapati bekas suaminya itu tidak membayar mas kahwin, tidak memberi saraan hidup ketika dalam tempoh perkahwinan, tunggakan nafkah anak dan sebagainya. Untuk memudahkan mendapat hak-hak tersebut adalah lebih baik menggunakan peguam. Bagi mereka yang tidak mampu menggunakan khidmat peguam bolehlah membuat permohonan kepada Biro Bantuan Guaman. Semua permohonan itu dibuat kepada Pendaftar Mahkamah Syariah.

Mahar ialah harta yang berhak diterima oleh isteri daripada suaminya dengan sebab berlakunya akad perkahwinan atau hubungan kelamin. Mahar merupakan salah satu kesan yang timbul apabila berlakunya suatu akad perkahwinan. Di Negara kita mahar dikenali sebagai mas kahwin, enakmen pula mentakrifkan sebagai pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah hukum syarak oleh suami kepada isteri pada masa akad nikah, sama ada dalam bentuk wang yang sebenarnya dibayar atau diakui hutang atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut hukum syarak, dapat dinilai dengan wang. Hukum menyebut atau menyatakan mahar semasa akad perkahwinan adalah sunat.

Walaupun mahar wajib dibayar, namun kedudukan mahar bukanlah sebagai rukun ataupun syarat bagi sahnya sesuatu pernikahan. Oleh sebab itu, akad nikah tetap sah walaupun mahar tidak disebut ataupun tidak ditentukan semasa akad. Mahar atau mas kahwin terbahagi kepada dua jenis iaitu mahar yang dinyatakan semasa akad perkahwinan (Mahr Al-Musamma) dan mahar yang tidak nyatakan semasa akad (Mahr Al-Mithli).

Fukaha telah bersepakat menyatakan tentang kewajiban pemberian mahar atau mas kahwin kepada isteri terhadap beberapa keadaan iaitu berlakunya persetubuhan yang sebenar antara suami yang baligh dengan isteri yang boleh disetubuhi dalam suatu akad perkahwinan yang sah walaupun persetubuhan tersebut berlaku dalam masa atau diharamkan oleh syarak, berlaku khulwah sahihah antara suami isteri dalam keadaan tanpa halangan untuk melakukan persetubuhan dan berlakunya kematian salah seorang sama ada suami atau isteri walaupun belum berlaku persetubuhan dan sama ada suami atau isteri itu mampu melakukan persetubuhan ataupun tidak.

Para ulama’ sependapat menyatakan akan gugur separuh mas kahwin sekiranya suatu pencarian itu terjadi sebelum berlakunya persetubuhan dan penceraian tersebut berpunca daripada pihak suami seperti suami yang menjatuhkan talak. Seorang suami tidak wajib membayar apa-apa mas kahwin kepada isterinya, sekiranya penceraian itu berlaku sebelum persetubuhan dan punca penceraian itu adalah daripada pihak isteri.[13]

Kesimpulan

Perceraian adalah perbuatan halal tetapi keji disisi Allah. Perceraian hendaklah dielakkan kerana kesannya buruk kepada keluarga terutamanya anak-anak serta masyarakat. Cara yang paling baik untuk menyelesaikan hak-hak ialah secara perundingan antara suami dan isteri. Penyelesaian secara musyawarah ini akan menjimatkan masa,wang ringgit dan tidak menyusahkan anak-anak. Jika tiada pilihan barulah dibawa ke Mahkamah Syariah dan hak-hak itu hendaklah dituntut jika mempunyai alasan yang cukup.

Islam adalah agama yang adil dan memberi hak pembelaan yang cukup kepada kaum wanita. Oleh itu, tidak timbul soal Islam menindas kaum wanita kerana yang penting ialah wanita Islam perlu bersikap mengambil tahu tentang hak-hak mereka di dalam perkahwinan atau selepas berlaku perceraian. Pencarian ilmu pengetahuan merupakan suatu kaedah terbaik untuk wanita Islam dalam menangani permasalahan yang dihadapi supaya dapat bagi wanita tersebut memperkukuhkan identiti diri.

Rujukan

Dr. Kamil Musa, 1989, Fiqh Wanita : Anak Perempuan, Shah Alam, Penerbitan HIZBI

Najib Ahmad Marzuki Wan Ab. Rahman Khudzri Wan Abdullah, 2006, Undang-Undang & Kerja Sosial Di Malaysia : Kaitan Dengan Pembangunan Keluarga, Sintok, Universiti Utara Malaysia

Prof. Madya Mahmood Zuhdi Hj. Abdul Majid, Raihanah Hj. Azahari, 1989, Undang-Undang Keluarga Islam: Konsep Dan Perlaksanaannya Di Malaysia, Kuala Lumpur, Karya Abazie

Rohaty Mohd Majzub, Muhammad Rais Abdul Karim, 1999, Ibu Tunggal, Selangor, Pelanduk Publication Sdn Bhd

Suzana Ghazali, 2009, Buatmu Wanita, Selangor, Buku Prima Sdn

Ustaz Abd. Latif Muda, Ustazah Rosmawati @ Mat Zin, 1997, Pengantar Fiqh, Kuala Lumpur, Pustaka Salam

Zaini Nasohah, 2002, Perceraian: Hak Wanita Islam, Kuala Lumpur, Utusan Publication & Distribution Sdn Bhd



[1] Najib Ahmad Marzuki Wan Ab. Rahman Khudzri Wan Abdullah, 2006, Undang-Undang & Kerja Sosial Di Malaysia : Kaitan Dengan Pembangunan Keluarga, Sintok, Universiti Utara Malaysia

[2] Zaini Nasohah, 2002, Perceraian : Hak Wanita Islam, Kuala Lumpur, Utusan Publication & Distribution Sdn Bhd

[3] Prof. Madya Mahmood Zuhdi Hj. Abdul Majid, Raihanah Hj. Azahari, 1989, Undang-Undang Keluarga Islam: Konsep Dan Perlaksanaannya Di Malaysia, Kuala Lumpur, Karya Abazie

[4] Ustaz Abd. Latif Muda, Ustazah Rosmawati @ Mat Zin, 1997, Pengantar Fiqh, Kuala Lumpur, Pustaka Salam

[5] Zaini Nasohah, 2002, Perceraian : Hak Wanita Islam, Kuala Lumpur, Utusan Publication & Distribution Sdn Bhd

[6] Ustaz Abd. Latif Muda, Ustazah Rosmawati @ Mat Zin, 1997, Pengantar Fiqh, Kuala Lumpur, Pustaka Salam

[7] Zaini Nasohah, 2002, Perceraian : Hak Wanita Islam, Kuala Lumpur, Utusan Publication & Distribution Sdn Bhd

[8] Najib Ahmad Marzuki Wan Ab. Rahman Khudzri Wan Abdullah, 2006, Undang-Undang & Kerja Sosial Di Malaysia : Kaitan Dengan Pembangunan Keluarga, Sintok, Universiti Utara Malaysia

[9] Rohaty Mohd Majzub, Muhammad Rais Abdul Karim, 1999, Ibu Tunggal, Selangor, Pelanduk Publication Sdn Bhd

[10] Najib Ahmad Marzuki Wan Ab. Rahman Khudzri Wan Abdullah, 2006, Undang-Undang & Kerja Sosial Di Malaysia : Kaitan Dengan Pembangunan Keluarga, Sintok, Universiti Utara Malaysia

[11] Zaini Nasohah, 2002, Perceraian : Hak Wanita Islam, Kuala Lumpur, Utusan Publication & Distribution Sdn Bhd

[12] Prof. Madya Mahmood Zuhdi Hj. Abdul Majid, Raihanah Hj. Azahari, 1989, Undang-Undang Keluarga Islam: Konsep Dan Perlaksanaannya Di Malaysia, Kuala Lumpur, Karya Abazie

[13]Zaini Nasohah, 2002, Perceraian : Hak Wanita Islam, Kuala Lumpur, Utusan Publication & Distribution Sdn Bhd

Ukhuwah Yang Di Redhai Allah

Pengenalan

Islam diturunkan oleh Allah s.w.t mengajak umat manusia untuk hidup rukun dan damai, aman dan tenteram, saling cinta-mencintai, kasih-mengasihi, hormat-menghormati dan tolong-menolong. Islam amat mengutamakan perpaduan dan kesatuan serta persaudaraan iaitu ukhuwah antara umat manusia dan menempatkan asas perpaduan dan persaudaraan itu di tempat yang utama.

Apabila kita meneliti dan fikirkan, memang perkara-perkara perselisihan, permusuhan, pertikaian, serta pertumpahan darah adalah sangat tidak wajar sama sekali dilakukan. Ini kerana hal-hal tersebut sama sekali tidaklah dipandang baik apatah lagi menguntungkan, bahkan ia lebih membawa kepada malapetaka dan bencana.

Sesungguhnya manusia itu berasal daripada satu keturunan. Kerana perbezaan goegrafi tempat tinggal sesuatu bangsa dan perbezaan iklim, maka terjadilah perbezaan warna kulit, bahasa, perawatakan, perbezaan suku, puak, bangsa dan sebagainya. Menurut Islam, semua manusia adalah sama pada pandangan Allah s.w.t, tiada bezanya, dan yang terbaik adalah orang-orang yang bertaqwa kepada-Nya. Allah berfirman yang bermaksud:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬ (سُوۡرَةُ الحُجرَات :١٣

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).
(Surah Al-Hujraat: 13)

Islam sangat menentang apabila terdapat manusia yang merendahkan atau menghina manusia yang lain, sama ada dari segi pangkat, rupa paras dan sebagainya. Agama Islam memerintahkan kepada umat manusia untuk berdamai di muka bumi ini dan menjadi umat yang bersaudara atau berukhuwah, tidak bermusuh-musuhan dan menumpahkan darah. Persaudaraan itu dititikberatkan kerana ia adalah pemeluk agama Islam. Persaudaraan, ukhuwah dan silaturrahim tidak ada beza maknanya. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Perbuatan yang paling dicintai Allah adalah beriman kepada Allah kemudian bersilaturrahim.” (Shahih Al-Jami’: 166)

فَهَلۡ عَسَيۡتُمۡ إِن تَوَلَّيۡتُمۡ أَن تُفۡسِدُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَتُقَطِّعُوٓاْ أَرۡحَامَكُمۡ (سُوۡرَةُ محَمَّد:٢٢

Rasulullah bersabda, “jika kamu berkehendakkan maka bacalah, “Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan?” (Muhammad:22).

Rasulullah juga bersabda: “Barangsiapa yang suka dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah ia melakukan silaturrahim.” (H R-Bukhari)

Definisi Ukhuwah

Ukhuwah dari segi bahasa berasal daripada perkataan “akhun” yang membawa erti saudara, teman, sahabat dan lain-lain lagi. Manakala, dari segi istilah pula ialah perasaan kasih-sayang, tolong-menolong, bantu-membantu, bertolak-ansur, bermesra dan cinta-mencintai di antara sesama umat Islam tanpa terkecuali. Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ (سُوۡرَةُ الحُجرَات:١٠

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, maka damaikanlah diantara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah SWT supaya kamu mendapat rahmat”
(Surah Al-Hujraat: 10)

Menurut hadis pula ukhuwah adalah seperti tubuh badan, darah daging dan roh umat Islam sendiri. Rasulullah S.A.W bersabda “ Daripada Nu’man bin Bashir r.a : Bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Perbandingan orang-orang mukmin pada kasih sayang mereka adalah seperti tubuh badan kurang satu. Apabila satu anggota berasa sakit seluruh badan akan turut merasainya”.

Menurut As-Syahid Imam Hassan Al-Banna: Hati dan jiwa ditautkan aqidah. Aqidah adalah hubungan yang paling ampuh dan berharga. Persaudaraan adalah saudara iman dan perpecahan adalah saudara kufur. Kekuatan yang pertama adalah kekuatan perpaduan. Perpaduan tidak akan wujud tanpa kasih-sayang. Rasa kasih-sayang yang paling rendah ialah berlapang dada dan yang paling tinggi ialah mengutamakan orang lain.

Makna Ukhwah Fillah

Ukhwah fillah merupakan ikatan iman yang ditegakkan atas dasar manhaj Allah, yang memancar (berhulu) dari rasa ketaqwaan dan bermuara kepada pengendalian yang kukuh dengan tali-Nya atau “i’tisham bi hablillah” (berpegang dengan tali Allah atau agama Allah). Ukhwah Islamiyah merupakan tujuan suci, cahaya Rabbaniyah, sekaligus merupakan nikmat ilahiyyah. Allah menuangkan cahaya dan nikmat-Nya pada hati dari setiap hamba-Nya yang mukhlish (ikhlas), mensucikan atau memurnikan mereka dari kepimpinan-Nya, dan melindungi mereka dari akhlak-akhlak-Nya. Dialah yang telah mengajar mereka kejujuran, keimanan, dan kedalaman keikhlasan.

Dan sesungguhnya itulah yang dinamakan kekuatan iman seseorang yang membekas pada hatinya secara mendalam dengan dipenuhi rasa cinta (mahabbah), rasa kasih sayang, dan rasa saling menghormati. Juga sekaligus sebagai ikatan timbal balik di antara sesama mereka yang telah mengikatkan dirinya dengan dasar aqidah Islam, dan untaian keimanan dan ketaqwaan.

Maka perasaan bersaudara secara tulus inilah yang akan melahirkan peribadi mukmin yang mempunyai rasa kasih sayang dengan sejujur-jujurnya dan sebenar-benarnya, serta perasaan ikhlas yang sejati. Dengan mengambil sifat positif dalam hal rasa cinta dan saling mengutamakan, kasih sayang dan saling memaafkan, serta dengan membantu dan saling melengkapi. Dan menghindari hal-hal negatif seperti menjauhkan diri dari segala yang menyebabkan mudharat dalam diri mereka, dalam harta benda mereka, dan dalam kemuliaan mereka.

Oleh kerana itu, ukhwah fillah merupakan sifat yang lazim dari sudut keimanan, dan ia merupakan sifat yang sesuai sebagai teman dalam ketaqwaan. Dengan yang demikian maka tidak ada persaudaraan sejati tanpa adanya iman dan tidak adanya iman tanpa adanya persaudaraan. Sekiranya keimanan tidak didukung oleh persaudaraan, maka boleh disimpulkan bahawa betapa rendahnya kadar keimanan seseorang itu.

Kategori Ukhuwah

Menurut Imam Ghazali; terdapat empat kategori ukhuwah iaitu yang pertama ialah ukhuwah dijalinkan atas dorongan keseronokan seperti paras rupa, tingkahlaku dan sebagainya. Seterusnya yang kedua ialah ukhuwah untuk kepentingan diri (peribadi) untuk tujuan kebendaan di dunia dan tidak lebih dari itu.

Selain itu, yang ketiga ialah untuk kepentingan akhirat semata-mata seperti pencinta ilmu mengasihi guru dan para ulama’ bukan untuk mendapat keuntungan kebendaan di dunia tetapi untuk mendapatkan iman dan taqwa yang pasti dapat menyelamatkannya dari azab api neraka di akhirat. Serta akhir sekali ialah persaudaraan yang diikat erat daripada kesedaran iman dan taqwa kepada Allah. Terjalin semata-mata patuh dan taat. Menyembah dan menyerah diri kepada Allah.

Al-Qurthuby berpendapat; silaturrahim terdiri dari dua bahagian, iaitu umum dan khusus. Silaturrahim umum adalah silaturrahim agama, diharuskan untuk melaksanakannya dengan terus menerus dengan menguatkan keimanan, mencintai orang-orang beriman, menolong mereka, memberi nasihat kepada mereka, tidak mencelakakan mereka, bersikap adil di antara mereka, melaksanakan hak-hak dan kewajipan mereka, seperti mengubati orang yang sedang sakit, melaksanakan hak-hak orang mati iaitu memandikannya, mengkafankannya, mensolatkannya dan menguburkannya serta hak-hak yang lainnya.

Prinsip-prinsip Ukhuwah

1. Perdamaian atau hubungan yang baik, saling bermaaf-maafan dan tidak terlalu sensitif. Apabila perselisihan terjadi, maka segeralah didamaikan perselisihan tersebut agar tidak meretakan hubungan diantara mereka yang bersengketa. Perdamaian boleh dilakukan oleh mereka yang berselisih, mahupun melalui bantuan orang ketiga.

Firman Allah :

يَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡأَنفَالِ‌ۖ قُلِ ٱلۡأَنفَالُ لِلَّهِ وَٱلرَّسُولِ‌ۖ فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَأَصۡلِحُواْ ذَاتَ بَيۡنِڪُمۡ‌ۖ وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥۤ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ
(سُوۡرَةُ الاٴنفَال:١)

“Maka hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan perbaikilah hubungan antara kamu dan taatlah kepada Rasulnya sekiranya kamu orang-orang yang beriman”.
(Surah Al-Anfal : 1)

2. Saling kasih-mengasihi dan cinta-mencintai ke arah mengeratkan lagi ikatan ukhuwah. Setiap manusia hendaklah mencintai sahabatnya (saudaranya) semata-mata kerana Allah dan bukanlah kerana harta, pangkat dan kekayaan semata-mata. Kasih-mengasihi juga tidak terbatas pada orang tua atau orang-orang terhormat sahaja, tetapi untuk seluruh umat manusia.

Firman Allah :

لَن تَنَالُواْ ٱلۡبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُواْ مِمَّا تُحِبُّونَ‌ۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَىۡءٍ۬ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌ۬
(سُوۡرَةُ آل عِمرَان:٩٢)

“Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebaikan sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kau cintai dan apa sahaja kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya”.
(Surah Al-Imran : 92)

Allah menjelaskan bahawa kasih-sayang dan cinta-mencintai antara satu sama lain boleh dipertingkatkan melalui sedekah. Kasih-sayang dapat disuburkan sehingga mencapai taraf yang paling tinggi jika orang-orang kaya mengorbankan segala sesuatu yang paling disayangi untuk membela nasib golongan malang. Apatah lagi jikalau kita mengorbankan sesuatu untuk kemaslahatan dakwah. Ukhuwah yang disandarkan atas dasar untuk kepentingan umat islam (dakwah) adalah yang paling utama.

3. Persamaan iaitu ikatan ukhuwah akan terus kukuh jika manusia merasai atau mempunyai sifat persamaan diantara satu sama lain. Tidak ada beza di antara kita kecuali ketaqwaan kita kepada Allah dan ketaqwaan tidak dapat dinilai oleh manusia tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui. Dalam berukhuwah adalah sangat penting untuk kita memandang semua orang adalah setaraf dan sama sahaja kerana ia akan memudahkan lagi proses ukhuwah kita.

Asas-asas Ukhuwah

Setiap sesuatu perkara sudah pasti ada asas-asasnya. Bagi ukhuwah pula asasnya yang pertama ialah akhlak yang mulia seperti berkata benar, menjauhkan diri daripada perkara mungkar, menunaikan janji, tolong-menolong, rendah diri dan lain-lain lagi sifat mahmudah. Setiap insan mengimpikan teman atau pendampingnya yang berakhlak mulia agar perhubungan berjalan dengan baik. Sekiranya seseorang individu itu berakhlak mazmumah, maka orang lain juga sukar menerimanya menjadi teman yang baik.

Asasnya yang kedua pula ialah ikhlas. Hanya orang ikhlas sahaja yang dapat mengorbankan segala-galanya untuk menyempurnakan hidup berukhuwah. Ikhlas akan melahirkan insan yang berkhidmat tanpa noktah akhir. Orang yang ikhlas juga tidak akan meminta-minta ganti rugi atas setiap pengorbanan serta bantuan yang telah diberikan kepada temannya.

Asasnya yang ketiga adalah amanah. Orang yang tidak amanah adalah orang yang mempunyai ciri-ciri orang munafik. Allah telah memberikan amanah kepada manusia untuk berkasih sayang dan memakmurkan alam ini. Orang yang amanah juga akan sentiasa amanah dalam memelihara ukhuwahnya dengan teman-temannya agar ukhuwahnya berkekalan hingga ke akhir hayat.

Seterusnya pula asas yang keempat dan terakhir adalah belas kasihan. Sifat ini dianggap cukup penting kerana tanpa sifat ini masyarakat manusia menjadi pentingkan diri, suka melakukan kekejaman dan penindasan. Dengan belas kasihan juga seorang teman akan sentiasa menghargai sesuatu perhubungan dan mencuba sedaya upaya untuk tidak menyakiti hati temannya sendiri.

Adab-adab Berukhuwah

Tidak molek rasanya terhadap sesuatu perkara itu seandainya tidak disaluti dengan adab-adab yang indah. Terdapat beberapa adab berukhuwah yang boleh dijadikan sandaran bagi umat islam yang sentiasa ingin memelihara ukhuwahnya. Pertama ialah segera membantu sahabat yang memerlukan pertolongan kita. Sebagai teman, saudara mahupun sahabat, adalah suatu kewajipan bagi kita umat manusia untuk menhulurkan bantuan atau pertolongan kepada teman kita yang memerlukannya. Kerana sebagai teman yang baik kita haruslah sentiasa bersama di waktu senang dan susah.

Selain itu, sudah menjadi lumrah bahawa teman akan menjadi tempat meluahkan perasaan dan masalah, lantaran itu sebagai teman yang setia pada ukhuwahnya adalah suatu kewajipan baginya untuk menyembunyikan rahsia sahabatnya kerana ia akan dapat membantu menutup keaiban sahabatnya. Malah, elakkan bantah-membantah agar tidak mengeruhkan hubungan serta sentiasalah mendoakan teman tentang perkara-perkara yang baik-baik untuk di dunia dan di akhirat kelak.

Bagi menunjukkan rasa kasih sayang kita kepada teman, sentiasakanlah diri melafazkan perkataan “Inni uhibbuka fillah” yang bermaksud “sesungguhnya aku mencintai kamu kerana Allah”. Ini dapat menyuburkan lagi ukhuwah yang terbina. Sentiasalah bertanya khabar teman agar teman merasa dihargai. Begitu juga dengan kita, mestilah sentiasa menghargai bantuan teman serta mengucapkan terima kasih apabila dibantu oleh teman.

Kelebihan Dan Kepentingan Menghubungkan Ukhuwah

Menghubungkan ukhuwah sememangnya memberikan kita banyak kelebihan sama ada dalam kehidupan di dunia mahupun dalam kehidupan di akhirat. Antara kelebihan yang biasa dibahaskan ialah mereka yang menghubungkan ukhuwah termasuk di dalam tujuh golongan yang dijanjikan di dalam hadis sebagai golongan yang mendapat lindungan payung Allah di akhirat kelak. Selain itu, Allah amat kasih kepada hambaNya yang berkasih sayang kerana Allah.

Malahan, Allah juga telah menjanjikan bahawa orang yang berkasih sayang dijanjikan dengan balasan syurga. Bayangkan betapa mudahnya kita mencari pahala untuk ke syurga seandainya kita ikhlas melakukannya kerana Allah semata-mata. Bukan itu sahaja, sebaik-baik amal dan iman ialah kasih kerana Allah dan benci kerana Allah. Malah, kita boleh mendapat kekuatan luar biasa akibat daripada ukhuwah yang diamalkan seperti kemenangan umat islam di dalam peperangan semasa zaman Nabi Muhammad saw di mana ukhuwah diantara mereka sangat kuat pada ketika itu.

Mengapa pentingnya kita sebagai manusia menghubungkan ukhuwah yang pertama adalah untuk mendapat keredhaan Allah kerana Dia suka pada orang yang menghubungkan ukhwah begitu juga penghuni langit dan bumi kerana ia apat mencetuskan kegembiraan pada kedua-dua belah pihak, tiada amalan yang lebih baik melainkan dapat menggembirakan hati orang-orang yang beriman.

“Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, mereka berhimpun atau bertemu kerana Allah dan berpisah pun kerana Allah.”

(Hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim, Malik, At-Tirmizi dan Al-Nasa’i)

Selain itu, mereka yang menghubungkan ukhuwah juga menggembirakan para Malaikat di langit kerana mereka amat suka kepada orang yang menghubungkan ukhwah. Pahala yang berterusan juga akan diperolehi. Di samping itu, rezeki yang diberkati Allah sentiasa mencukupi keperluan, dilanjutkan usia serta dapat menambah dan menimbulkan rasa kasih-sayang dalam pergaulan seharian.

Apabila kita sentiasa menjaga dan menghubungkan ukhuwah ia akan membuat Iblis dan Syaitan bertambah gelisah kerana mereka sangat benci pada manusia yang berkasih sayang kerana Allah. Menjaga ukhuwah dengan erat juga akan membuatkan kita sentiasa disegani dan dihormati oleh masyarakat yang berada disekeliling kita serta menggembirakan jenazah yang berada di alam barzakh.

Ciri-ciri Orang Yang Berukhuwah Kerana Allah

Rasulullah s.a.w juga menyarankan agar kita menzahirkan kasih sayang kita kerana ukhuwah sangat penting dalam membentuk masyarakat. Ciri-ciri mereka yang berukhuwah kerana Allah s.w.t antaranya yang pertama, tidak membiarkan atau meninggalkan sahabatnya yang dalam kesusahan. Adalah menjadi tanggungjawab kita membantu sesama teman ketika teman ditimpa dalam kesulitan.

Kedua ialah orang-orang yang berukhuwah kerana Allah juga akan sentiasa bersifat bertoleransi dan memaafkan. Bertolak-ansur adalah sangat penting dalam setiap perhubungan kerana tolak ansur adalah petanda bahawa wujud persafahaman di dalam perhubungan. Memaafkan adalah perbuatan yang sangan murni di dalam perhubungan. Setiap insan akan melakukan kesalahan. Memaafkan adalah jalan penyelesaian terhadap perselisihan yang melanda sesebuah ukhuwah.

Orang yang berukhuwah kerana Allah juga akan sentiasa tersenyum apabila bertemu atau terserempak dengan temannya di mana-mana. Melihat teman tersenyum akan membuatkan hati temannya menjadi sejuk. Rasulullah s.a.w adalah manusia yang paling banyak senyum kecuali tiga tempat iaitu yang pertama, apabila baginda sedang menerima wahyu. Kedua, apabila menyebut tentang kiamat. Akhir sekali, apabila sedang berpidato memberi pengajaran. Kadang-kadang baginda ketawa sehingga nampak gigi gerahamnya.

Selain itu, terdapat banyak lagi ciri-ciri orang yang berukhuwah kerana Allah s.w.t seperti bersahabat ikhlas kerana Allah, setia dan berbuat baik kepada teman, tidak mengumpat dan menceritakan keburukan teman, mengelakkan perselisihan pendapat, gurauan yang berlebihan dan tidak tepati janji. Selain itu perlu bersifat pemurah dan memuliakan sahabat serta mendoakan yang baik-baik untuk sahabat.


Cara untuk mencapai dan memperkukuhkan roh ukhuwah

Islam telah mengariskan dasar-dasar praktis dan tatacara positif untuk mencapai dan memperkukuhkan lagi roh ukhuwah. Iaitu :

a) Memberitahu kepada saudara yang dicintainya. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Apabila seseorang mencintai saudaranya maka hendaklah dia memberitahu kepadanya”. H R Abu Daud dan Tirmizi).

b) Berdoa untuk mereka. Menurut riwayat Muslim bahawa Rasullullah s.a.w bersabda:
“Tidak seorang hamba mukmin berdoa untuk saudaranya dari kejauhan kemungkaran melainkan malaikat berkata, dan bagimu juga seperti itu”.

c) Berjabat tangan bila bertemu. Rasullullah s.a.w menyarankan pada umatnya bila bertemu dengan saudara-saudara agar cepat-cepatlah berjabat tangan.
Sesuai dengan hadis yang diriwayatkan Abu Daud dari Barra:
“ Tidak ada dua orang mukmin yang berjumpa lalu berjabat tangan melainkan keduanya diampuni dosanya sebelum berpisah”.

d) Memberi senyuman ketika bertemu. Hadis riwayat dari Abu Dzhar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Janganlah engkau remehkan kebaikan apa sahaja yang datang dari saudaramu dan jika engkau berjumpa saudaramu maka berikan dia senyuman kegembiraan”. (H R Muslim)

e) Mengunjungi saudara. Dalam kitabnya Al-Muwathtaa Imam Malik meriwayatkan sabda Nabi Muhammad s.a.w bahawa Allah s.w.t berfirman:
“Pasti akan dapat cintaku orang-orang yang mencintai kerana Aku, dimana keduanya saling berkunjung kerana Aku dan saling memberi kerana Aku”.

f) Menyampaikan ucapan selamat. Contohnya dalam hal-hal yang berkaitan dengan kelahiran anak, apabila pergi dan kembali dari menunaikan haji dan melangsungkan pernikahan. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a bahawa rasulullah s.a.w bersabda:
“Barangsiapa mengucapkan selamat kepada saudaranya ketika saudaranya mendapat kebahagiaan nescaya Allah s.w.t menggembirakannya pada hari kiamat”. (H R Tabrani)

g) Memberi hadiah. Imam Dailami meriwayatkan dari Anas dengan marfu’ bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Hendaklah kalian saling memberi hadiah kerana hadiah itu dapat mewariskan rasa cinta dan menghilangkan kekotoran hati”.

h) Memperhatikan keperluan sahabat. Riwayat oleh abu Hurairah r.a bahawa rasulullah s.a.w bersabda:
“Siapa yang meringankan beban penderitaan seorang mukmin di dunia pasti Allah akan meringankan beban penderitaannya di akhirat kelak. Siapa yang memudahkan orang dalam kesusahan pasti Allah s.w.t akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. Siapa yang menutupi aib seorang muslim pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Dan Allah s.w.t akan selalu menolong hamba-Nya jika hamba tersebut menolong saudaranya” (H R Muslim).

i) Tegakkan hak-hak persaudaraan. Wajib bagi kita menunaikan hak-hak yang dimiliki saudara lain, seperti menziarahi saudara yang sedang sakit, mendoakannya ketika bersin dan menolong bagi yang dizalimi. Perkara tersebut adalah penting untuk menunjukkan rasa cinta kasih kita pada sahabat kita sekaligus untuk mempereratkan ukhwah bila kita laksanakannya betul-betul kerana Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِہِمۡ‌ۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِى ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعً۬ا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَـٰڪِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَہُمۡ‌ۚ إِنَّهُ ۥ عَزِيزٌ حَكِيمٌ۬ (سُوۡرَةُ الاٴنفَال:٦٣)

“Dan yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kaku membelanjakan semua (kekayaan) yang berada dibumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah dapat mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana, (Al-Anfal:ayat 63).”




Rujukan

Ahmad Sholeh. 2004. Insan Yang Dincintai Allah. Kuala Lumpur. Jasmin Enterprise.

Dr. Mahmud Mohamad Babeli. 2002. Persaudaraan Islam Dan Pembangunan Sosial. Kuala Lumpur. Misas Advertising

Fatimah Syarha Mohd Nordin, 2007, Duhai Teman Sejatiku, Kuala Lumpur, Telaga Biru Sdn Bhd

H. Luqman Hakim. 1992. Cara HIdup Islam. Johor Bahru. Penerbitan Al-Masyhur Sdn. Bhd.

Ust. Husni Adham Jarror. 1989. Bercinta Dan Bersaudara Karena Allah. Jakarta. Gema Insani Press.


Nuffnang

Al-Qur'an

Suara Palestin