BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Nuffnang

Tuesday, March 29, 2011

Hak & Tanggungjawab Selepas Perceraian

Pendahuluan

Di dalam buku karangan Profesor Ahmad Salbi yang bertajuk “Masyarakat Islam” mencatatkan bahawa satu perubahan besar setelah Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah ialah baginda mengangkat darjat kaum wanita setinggi-tingginya kerana kaum wanita adalah ibu, isteri dan pendidik. Wanita mempunyai hak-hak warisan, mendapat pahala sama seperti lelaki dan dikasihi dan disayangi.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ بِوَٲلِدَيۡهِ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُ ۥ وَهۡنًا عَلَىٰ وَهۡنٍ۬ وَفِصَـٰلُهُ ۥ فِى عَامَيۡنِ أَنِ ٱشۡڪُرۡ لِى وَلِوَٲلِدَيۡكَ إِلَىَّ ٱلۡمَصِيرُ (١٤(

“Dan Kami perintahkan kepada manusia terhadap kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah lemah dan menyusukannya 2 tahun”. (Luqman:14)

“Hadith riwayat Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w ditanya siapakah orang yang paling layak dijadikan kawan baiknya, baginda menjawab: “Ibuku, ibumu, ibumu kemudian ayahmu”. (Mutafaq Alaih).

Wanita telah diangkat martabatnya oleh Islam namun peredaran zaman dan perubahan kehidupan telah membebankan golongan wanita terutama mereka yang menghadapi masalah rumahtangga. Mereka hidup dalam persekitaran yang dipenuhi dengan banyak cabaran dan dugaan. Ada wanita yang digantung tidak bertali sehingga 10 tahun atau lebih. Mereka terpaksa naik turun mahkamah selama bertahun-tahun tanpa hasil, sedangkan anak terpaksa disara dalam keadaan nafkah tidak diberikan oleh suami. Suami pula ada yang melepaskan hak dan tanggungjawab mereka sesuka hati.

Di negara kita, kes-kes tergantung di Mahkamah Syariah meningkat sehingga 70,000 kes. Masalah undang-undang atau layanan terhadap wanita ini sebenarnya tidaklah serumit mana sekiranya semua pihak kembalikan semangat Islam dalam erti yang sebenarnya. Di sisi Islam, isteri mempunyai hak-haknya yang tersendiri. Namun begitu, masih ramai yang tidak tahu haknya terutama ketika memohon perceraian ataupun selepas diceraikan.[1]

Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:

أَسۡكِنُوهُنَّ مِنۡ حَيۡثُ سَكَنتُم مِّن وُجۡدِكُمۡ وَلَا تُضَآرُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُواْ عَلَيۡہِنَّ‌ۚ وَإِن كُنَّ أُوْلَـٰتِ حَمۡلٍ۬ فَأَنفِقُواْ عَلَيۡہِنَّ حَتَّىٰ يَضَعۡنَ حَمۡلَهُنَّ‌ۚ فَإِنۡ أَرۡضَعۡنَ لَكُمۡ فَـَٔاتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ‌ۖ وَأۡتَمِرُواْ بَيۡنَكُم بِمَعۡرُوفٍ۬‌ۖ وَإِن تَعَاسَرۡتُمۡ فَسَتُرۡضِعُ لَهُ ۥۤ أُخۡرَىٰ (٦(

“Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal mengikut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu (anak-anak) mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan menyawarahkanlah antara kamu segala sesuatu dengan baik dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya”.

(Al-Talaq: 6)

Demikianlah Allah s.w.t memberi panduan mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami. Ini bermakna tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak bukan sahaja semasa hidup bersama tetapi juga selepas bercerai dengan isteri. Seseorang wanita yang diceraikan oleh suaminya boleh membuat tuntutan ke atas bekas suaminya di Mahkamah Syariah.

Namun demikian, pihak lelaki atau suami juga mempunyai hak yang tertentu selepas perceraian. Seperti tuntutan hadhanah, hak melawat anak dan sebagainya. Sama juga dengan anak, di mana anak juga mempunyai hak yang setimpal selepas ibubapanya bercerai.

Hak Dan Tanggungjawab Selepas Perceraian

Tuntutan-tuntutan hak tersebut adalah seperti berikut:

1) Tuntutan Mutaah

Mutaah juga adalah nama bagi harta yang diberikan oleh suami kepada isterinya dengan sebab perceraian. Menurut Imam Syafie, mutaah merupakan harta wajib diberikan oleh suami kepada isterinya yang diceraikan hidup sama ada dengan talak atau seumpamanya dengan syarat-syarat tertentu. Ia merupakan pemberian hadiah daripada suami untuk mengembirakan hati isteri yang mungkin terluka. Tetapi, menurut pendapat jumhur ulama’, pemberian mut’ah daripada seorang suami kepada seorang isteri hukumnya adalah sunat.

Seorang isteri yang diceraikan boleh membuat tuntutan mutaah dalam beberapa keadaan seperti isteri yang telah dikahwini tetapi diceraikan sebelum berlakunya persetubuhan dan jumlah mahar belum ditentukan, isteri yang telah dikahwini berserta penentuan jumlah mahar dan telah berlaku persetubuhan antara suami isteri tersebut kemudian diceraikan, isteri yang tafwid (suami memberi kuasa talak kepada isteri), telah ditentukan mahar dan telah berlaku persetubuhan suami isteri, dan isteri yang telah dikahwini tanpa penentuan jumlah mahar.[2]

Dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat mengenai mutaah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

وَلِلۡمُطَلَّقَـٰتِ مَتَـٰعُۢ بِٱلۡمَعۡرُوفِ‌ۖ حَقًّا عَلَى ٱلۡمُتَّقِينَ (٢٤١(

“Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) mutaah menurut yang ma’ruf sebagai suatu kewajipan bagi orang-orang yang bertaqwa”. (Al-Baqarah: 241)

Mutaah itu boleh diberi dalam bentuk pakaian, barang-barang atau wang sesuai dengan keadaan dan kedudukan suami. Islam tidak menetapkan kadarnya dan ia bergantung kepada keredhaan dan persetujuan suami isteri, maka Mahkamah Syariah akan memutuskan kadar yang patut berdasarkan kemampuan suami.

Pada dasarnya tidak ada suatu penentuan mutlak tentang kadar ini oleh syarak. Menurut satu pendapat daripada mazhab Imam Syafie, kadar minimum mutaah ialah 30 dirham dan harus memberi mutaah lebih separuh daripada kadar mahar. Sekiranya berlakunya perselisihan antara pihak isteri dan pihak suami tentang kadarnya, maka hakim yang akan menentukan secara ijtihad dengan mengambil kira beberapa faktor. Antara faktor berkenaan adalah seperti taraf kehidupan suami, sama ada miskin, sederhana atau kaya, dan juga berkeadaan dari segi nasab dan sifat-sifatnya.

Peruntukan tersebut menyatakan dalam seksyen 56 bahawa:

Selain daripada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian sagu hati kepada mahkamah, dan mahkamah boleh, selepas mendengar keterangan daripada pihak yang terlibat dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut hukum syarak.

Jelas berdasarkan peruntukan tersebut, seorang isteri yang diceraikan hanya berhak menuntut mutaah daripada suaminya jika dia diceraikan tanpa sebab yang munasabah. Sekiranya perceraian itu berpunca daripada pihak isteri ataupun jika isteri itu bercerai dengan suaminya secara fasakh disebabkan aib atau kecatatan isteri ataupun isteri murtad maka dia tidak berhak menuntut mutaah daripada bekas suaminya.

Contoh Kes Tengku Anum Zaharah lwn Dato’ Dr. Hussein (1980, Jld. 3 J.H.). Peguam bagi pihak menuntut (isteri) telah merujuk kepada kes Hasan bin Ali bin Ali bin Abi Talib yang mana semasa beliau menjadi khalifah telah menceraikan isterinya dan memberi 10,000 dinar sebagai mutaah.

Peguam itu berhujah pihak yang kena tuntut (suami) seorang yang berkemampuan. Yang Arif Kadi Besar Selangor (pada masa itu) telah merujuk surah Al-Ahzab dan memutuskan pihak yang menuntut (isteri) berjaya menuntut mutaah sebanyak RM25, 200 sebagaimana yang dituntutnya.[3]

Antara hikmah Islam mengadakan dan mensyariatkan mutaah ialah:

Untuk meringankan bebanan wanita serta untuk menghiburkan hati mereka serta menghormati mereka setelah berlakunya perceraian dengan suami mereka, kerana perceraian adalah suatu perkara yang besar dalam hidup perempuan dan mereka bagaikan hilang separuh tempat bergantung.[4]

2) Tuntutan Nafkah Sewaktu ‘Iddah

Nafkah dari segi bahasa bererti mengeluarkan dan membelanjakan. Manakala dari segi istilah, ia membawa maksud mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada mereka yang wajib atas seseorang untuk membiayainya. Wanita yang diceraikan pada asasnya berhak mendapat nafkah dalam masa ‘iddahnya serta menuntut nafkah tertunggak sekiranya ada daripada bekas suaminya, bergantung kepada beberapa syarat. Nafkah yang dimaksudkan termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, dan belanja perubatan. Kewajiban dalam memberi nafkah termaktub dalam Al-Quran.

Allah s.w.t telah berfirman:

وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُ ۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُہُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِ‌ۚ

“Dan kewajiban bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” (Surah Al-Baqarah : 233)

Bagi nafkah isteri, ia hanya akan menjadi wajib apabila memenuhi syarat-syarat iaitu perkahwinan yang sah di sisi syarak, tercapainya maksud perkahwinan iaitu berlakunya persetubuhan antara suami dan isteri tersebut dan isteri mentaati suaminya mengikut kehendak syarak. Selain itu, suami berhak merujuk isterinya itu pada bila-bila masa sama ada dengan persetujuan isterinya atau tidak, dengan pengetahuannya atau tidak, dengan syarat selagi tempoh ‘iddah belum tamat. Isteri hendaklah taat dan patuh kepada suami iaitu tidak nusyuz.

Menurut kitab Kifayah Al- Akhyar Juz 29 halaman 48 mengatakan:

“Apabila seseorang isteri nusyuz maka gugurlah hak isteri untuk menerima nafkah, pakaian dan giliran.”

Hak nafkah seorang isteri akan gugur jika isteri enggan berpindah ke rumah yang disediakan oleh suaminya, jika isteri itu akur berpindah tetapi kemudiannya dia keluar daripada rumah tersebut dan tidak pulang selepasnya tanpa sebab yang munasabah menurut syarak dan jika isteri bermusafir tanpa keizinan suaminya walaupun tujuan musafir kerana Allah seperti mengerjakan haji atau umrah.[5] Seseorang isteri yang diceraikan oleh suami selepas disetubuhi, wajib ber’iddah raj’ie ini, suami dan isteri berfikir panjang dan merasa bagaimana pahit getirnya perceraian. Dalam menentukan sama ada seseorang wanita yang diceraikan itu berhak mendapat nafkah seperti yang ditentukan atau tidak, perlu dilihat juga bentuk ‘iddah yang mereka lalui iaitu ‘iddah talak raj’ie atau ‘iddah talak ba’in.

Para fukaha bersepakat mengatakan bahawa isteri yang melalui ‘iddah ra’jie berhak mendapat kesemua jenis nafkah seperti mana nafkah yang diterimanya semasa dalam perkahwinan kecuali dia diceraikan dalam keadaan nusyuz. Antara nafkah tersebut ialah nafkah makanan, pakaian dan tempat tinggal. Hak ini akan diberhentikan sebaik sahaja tempoh ‘iddah tamat. Bagi wanita yang dalam ‘iddah talak ba’in pula, umumnya para fukaha berpendapat sekiranya wanita itu tidak hamil, para fukaha berbeza pendapat dalam menentukan nafkah ke atasnya.

Menurut mazhab Syafie dan Maliki, wanita yang dalam ‘iddah ba’in serta tidak hamil hanya berhak mendapat tempat tinggal sehingga ‘iddahnya selesai. Sekiranya isteri yang diceraikan dan hamil, maka wajib suami memberi nafkah makanan, pakaian dan tempat tinggal. Pada dasarnya, kadar nafkah bagi wanita yang diceraikan sama seperti apa yang telah diberikan kepadanya semasa tempoh perkahwinan yang sedang berjalan. Penentuan kadar nafkah berdasarkan kemampuan suami iaitu melihat keadaan kehidupan serta tanggungannya. Pendapat para fukaha terhadap pasangan ‘cerai mati’ mengikut pada kebiasaanya, isteri yang kematian suami boleh membuat tuntutan pusaka ke atas harta peninggalan suami dan tanggungjawab suami itu dianggap terhapus.[6]

3) Tuntutan Hadhanah (Hak Jagaan Anak)

Hadhanah dari segi bahasa bererti menjaga dan mengasuh anak kecil dengan menanggung nafkah dan mendidiknya. Ia juga membawa maksud memegang anak dan mendidiknya sejak awal kelahirannya lagi. Menurut istilah syarak pula, hadhanah bererti mendidik dan mengasuh anak oleh sesiapa yang diberikan hak hadanah oleh syarak kepadanya. Ia juga bermaksud mengasuh dan menjalankan urusan dirinya daripada perkara-perkara yang boleh menyakitkannya kerana ia belum cerdik seperti kanak-kanak ataupun orang dewasa tetapi tidak waras dan lemah daya pemikirannya.

Kesimpulannya, hadhanah bermakna pemeliharaan anak lelaki dan perempuan yang masih kecil yang belum boleh berdikari, menjaga kepentingan anak, melindunginya dari segala yang membahayakan dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya si anak dapat berkembang dan dapat mengatasi persoalan hidup yang akan dihadapinya. Hukum hadhanah ke atas kanak-kanak kecil adalah wajib. Pengabaian terhadap diri kanak-kanak itu bererti mendedahkannya kepada bahaya dan kebinasaan. Kewajiban tersebut lebih utama kepada seseorang yang telah diberi hak hadhanah sama ada ibu, bapa atau penjaga yang berhak.[7]

Persoalan yang timbul ialah siapa yang berhak memelihara dan menjaga anak jika ibu bapa bercerai? Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar yang bermaksud:

“Bahawasanya seorang perempuan telah datang menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya: Ya Rasulullah, bahawa anakku ini perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku.”Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain.” (Riwayat Abu Daud)

Hak hadhanah akan terlucut sekiranya si isteri itu gugur salah satu syarat berikut:

“Dan syarat-syarat hadhanah itu tujuh perkara iaitu berakal, merdeka, beragama, lemah lembut, amanah, tidak bersuami dan bermukim. Sekiranya kurang salah satu maka gugurlah hak hadhanah itu.”

Ini bermakna anak-anak yang belum mumayyiz diserah kepada ibunya. Bagaimana pula yang telah mencapai had umur mumayyiz?

Berdasarkan maksud Seksyen 84(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, dianggap belum mumayyiz bagi kanak-kanak lelaki ialah daripada bayi hingga berumur 6 tahun. Manakala kanak-kanak perempuan pula daripada bayi hingga berumur 8 tahun. Ini bermakna kanak-kanak lelaki telah mencapai umur 7 tahun dan kanak-kanak perempuan telah mencapai umur 9 tahun dianggap mumayyiz. Walau bagaimanapun dalam Seksyen 84 (2) keputusan yang dibuat oleh anak tidak mutlak kerana mahkamah boleh memerintahkan keputusan yang berlawanan dengan pilihan anak.[8] Faktor-faktor yang menentukan atau yang harus dipertimbangkan apabila ibubapa menuntut hak penjagaan anak-anak ialah:

· Umur dan kesihatan anak tersebut

· Jantina anak

· Cara/corak hidup ibubapa

· Pertalian emosi antara ibu dan anak

· Keupayaan ibu atau bapa memberi penjagaan rapi (makanan, pakaian, perubatan)

· Pilihan (preference) anak-anak jika anak melebihi umur 12 tahun[9]

Sebaik sahaja seorang anak itu dilahirkan ke dunia, kedua-dua ibu bapa mempunyai hak yang sama dalam memastikan anak mereka mendapat jagaan serta didikan sempurna. Walau bagaimanapun, perhatian yang lebih wajar hendaklah hadir daripada pihak ibu kerana biasanya ibulah yang mempunyai masa terluang lebih daripada bapa, apatah lagi bagi ibu yang tidak berkerja. Para fukaha telah bersepakat mengatakan bahawa ibu merupakan orang yang lebih berhak terhadap hadhanah berbanding dengan pengasuh lain.

Meskipun ibu diberi keutamaan dalam penentuan hak penjagaan, ia tertakluk kepada beberapa syarat yang mesti dipenuhi. Menurut mazhab Syafie, syarat-syarat yang dimaksudkan ialah merdeka, berakal (seorang yang gila, sama ada gila secara berterusan ataupun gila secara sekejap-sekejap adalah tidak layak mendapat hak hadhanah), adil, amanah, berbudi, beragama Islam, tidak berkahwin lain melainkan lelaki yang menjadi kerabat kepada kanak-kanak tersebut dan mesti seorang yang boleh menyusukan anak tersebut sekiranya si anak masih menyusu.

Hak jagaan terhadap seseorang pada umumnya akan tamat sebaik sahaja dia mampu menguruskan dirinya sendiri dan tidak memerlukan bantuan daripada orang lain. Ada sesetengah ulama’ yang menetapkan umur mumayyiz sebagai tamat tempoh penjagaan. Apabila tempoh hak hadhanah ibu berakhir, kanak-kanak akan diberi pilihan sama ada hendak terus tinggal dengan jagaan ibunya atau tinggal di bawah jagaan bapanya. Pemberian peluang untuk memilih ini berdasarkan kepada hadith Rasulullah s.a.w:

“Seorang perempuan telah datang kepada rasulullah dan berkata, “wahai Rasulullah, sesungguhnya suamiku hendak membawa anakku pergi padahal dialah yang mengambil air untukku dari perigi Abu ‘Unbah dan sesungguhnya dia berguna sekali kepadaku.” Maka Rasullah bersabda, “ Ini ayahmu dan ini ibumu, pilihlah mana yang kamu suka.” Lalu si anak memilih ibunya. Maka berjalanlah perempuan itu membawa anaknya.

Menurut imam Al-Nawawi dalam kitabnya Minhaj Al-Talibin, sekiranya seorang kanak-kanak lelaki memilih untuk berada di bawah penjagaan ibunya, dia akan bersama ibu pada malam hari dan pada siangnya kanak-kanak itu bersama bapanya. Hal ini bagi memudahkan si bapa mengajarkan hal-hal kehidupan dan akhlak seorang lelaki. Bagi anak perempuan pula, jika dia memilih berada di bawah penjagaan ibunya, siang dan malam dia akan bersama ibunya dengan hak melawat tetap diberi kepada pihak bapa. Walau bagaimanapun, seandainya terdapat kanak-kanak yang memilih ibu dan bapanya serentak, maka kadi hendaklah membuat undian. Jika kanak-kanak itu sakit, ibulah yang paling berhak untuk merawat meskipun pada masa itu dia berada di rumah bapanya.

Upah hadhanah ditanggung oleh bapanya jika kanak-kanak itu tidak mempunyai harta. Upah tersebut termasuk dalam nafkah anak. Walau bagaimanapun jika kanak-kanak itu mempunyai harta maka upah bagi hadhanahnya hendaklah diambil daripada harta tersebut. Seorang ibu tidak berhak untuk menuntut upah hadhanah sekiranya dia masih dalam ikatan perkahwinan. Walaupun anak itu di bawah hadhanah isteri, namun pada asasnya bapa bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak. Namun begitu, ia tertakluk kepada beberapa syarat iaitu bapa mampu memberi nafkah, anak itu tidak mempunyai harta benda yang boleh dijadikan sumber untuk menanggung nafkahnya, anak itu masih kecil dan anak itu seorang yang merdeka dan bukannya hamba.

Sekiranya seorang kanak-kanak itu itu masih menyusu, dan dia disusukan oleh wanita lain selain ibunya sendiri, maka upah menyusu ditanggung oleh bapa atau pihak lain yang bertanggungjawab terhadap nafkah anak tersebut. Menurut pendapat mazhab Syafie, ibu diwajibkan menyusukan anak pada awal kelahiran. Pada waktu demikian suatu peringkat penyusuan yang dikenali dengan laba’ akan keluar sebaik sahaja bayi dilahirkan.

4) Tuntutan Nafkah Anak

Dalam Islam hak mendapat kehidupan bagi si anak merupakan hak anak yang tidak boleh diganggu dan disekat. Hak hidup itu juga bererti menjadi kewajipan orang tua memelihara dan memberi bekal ilmu kepada anak sehingga anak itu boleh berdikari. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

فَإِنۡ أَرۡضَعۡنَ لَكُمۡ فَـَٔاتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ‌ۖ

“Kalau mereka itu (bekas isterimu) menyusukan anakmu maka berilah upah mereka.” (Al-Talaq:6)

Daripada sebuah hadith bahawa Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:

“Hindun pernah bertanya; “Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufian (suami Hindun) seorang yang bakhil. Ia tidak pernah memberi belanja kepadaku yang dapat mencukupi diriku dan anakku kecuali apa yang aku ambil dari hartanya itu, sedangkan ia tidak mengetahuinya. Kemudian Rasulullah s.a.w menjawab; “Ambillah apa yang sekiranya boleh mencukupi dirimu dan anakmu dengan cara yang makruf.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan dalil-dalil di atas ternyata seorang bapa wajib memberi nafkah untuk anak-anaknya dengan syarat:

1. Bahawa anak itu belum boleh berdikari. Bagi anak perempuan sehingga ia berkahwin atau sehingga ia ada pekerjaan.

2. Bahawa anak itu miskin tidak mempunyai harta sendiri untuk menafkahkannya

3. Bapa itu mampu memberi nafkah.

Apabila anak itu telah baligh dan boleh berdikari maka tidak wajib lagi memberi nafkah untuk anak itu. Begitu juga jika anak itu mempunyai harta sendiri meskipun masih kecil maka bapa tidak wajib memberi nafkah kepadanya anaknya. Pendapat ini adalah sepakat ulama’.[10]

5) Tuntutan Harta Sepencarian

Tuntutan harta sepencarian adalah lebih berdasarkan kepada undang-undang adat Melayu. Oleh kerana prinsip harta sepencarian tidak berlawanan dengan kehendak syariah maka peruntukan harta sepencarian diterima sebagai sebahagian daripada Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia. Harta sepencarian bermaksud harta yang diperolehi sepanjang masa perkahwinan seorang suami dengan isteri hasil daripada sumber atau daripada usaha mereka bersama.

Merujuk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang sedang berkuat kuasa di negeri-negeri sekarang, terdapat sedikit perbezaan di beberapa negeri tentang takrif harta sepencarian ini. Bagi negeri Kelantan, Pahang, dan Perak, ia ditakrifkan sebagai pendapatan atau harta yang didapati daripada usaha bersama di antara suami dan isteri, dan termasuklah pendapatan yang didapati daripada modal yang diperolehi daripada usaha mereka bersama. Manakala bagi negeri-negeri lain, harta sepencarian bererti harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak.

Walaupun harta sepencarian diasaskan kepada adat bukan kepada syarak, ia tidak bermakna bahawa perkara itu tidak termasuk dalam mana-mana kategori hukum. Hal ini disebabkan amalan individu, kelompok, mahupun masyarakat tetap tunduk kepada satu daripada tiga kategori iaitu harus atau tidak harus, boleh atau tidak boleh ataupun yang ketiga, penerimaan dengan pindahan.

Pada mulanya ianya dikenali sebagai adat yang diamalkan oleh orang melayu khususnya, dan orang Islam di Malaysia, Indonesia, dan Singapura. Malah pengiktirafan adat yang menjadi hukum tersebut jelas dapat kita lihat menerusi kaedah perundangan Islam sebagaimana dikemukan oleh Al-Suyuti dalam kitab Al-Asybah Wa Al-Naza’ir yang bermaksud adat mengambil tempat hukum dan sesuatu yang diterima mengikut adat samalah kedudukannya seperti suatu yang dibuat mengikut syarak.

Berdasarkan kes-kes tuntutan yang dibawa ke mahkamah syariah pada masa sekarang, jenis-jenis harta yang termasuk dalam harta sepencarian nampaknya semakin pelbagai, selari dengan perkembangan semasa. Jenis-jenis harta yang biasa dibuat tuntutan ialah rumah kediaman, kenderaan, tanah, sawah, kebun, rumah kedai, bangunan, wang pampasan tanah, perabot, barang elektrik, peralatan rumah, barang kemas, saham dan wang dalam akaun simpanan bersama. Jelasnya, jenis-jenis harta yang menjadi tuntutan tidak terhad melainkan harta itu berjaya dibuktikan telah diperolehi sepenuhnya sebelum perkahwinan atau harta itu termasuk dalam harta yang wajib dibahagikan mengikut sistem faraid.

Tuntutan harta sepencarian biasanya dibuat oleh pihak isteri. Walau bagaimanapun, sebenarnya pihak suami juga berhak menuntut perkara yang serupa. Oleh yang demikian, pihak-pihak yang mempunyai bahagian dalam harta tersebut tidak kira sama ada pihak suami atau isteri boleh menuntut hak masing-masing berserta keterangan dan bukti. Pada dasarnya tidak terdapat suatu ketetapan yang pasti, berhubung dengan kadar pembahagian sama ada untuk isteri ataupun suami bagi harta sepencarian. Apa yang diambil kira dalam penentuan kadar bahagian-bahagian tersebut berdasarkan tahap sumbangan isteri atau suami dalam pemilikan harta yang dituntut. Selain itu, dalam membuat apa jua tuntutan tentang harta sepencarian, pihak yang terlibat hendaklah betul-betul memastikan haknya dan jangan sampai dia mengambil hak orang lain walaupun milik bekas isteri atau suami.[11]

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ۬ مِّمَّا ٱڪۡتَسَبُواْ‌ۖ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٌ۬ مِّمَّا ٱكۡتَسَبۡنَ‌ۚ وَسۡـَٔلُواْ ٱللَّهَ مِن فَضۡلِهِۦۤ‌ۗ

“Orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan.” (An-Nisa’:32)

Dalam ayat ini dapat kita fahami bahawa hak wanita dalam harta benda itu bergantung daripada apa yang diusahakan. Menurut akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, harta sepencarian ditakrifkan sebagai:

“Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak.”

Menurut Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (ketika itu) memutuskn kes Piah bt. Said lwn Che Lah bin Awang, harta sepencarian ditakrifkan sebagai:

“Harta yang diperolehi bersama-sama suami isteri itu hidup bersama dan berusaha sama ada kedua-dua pasangan itu bersama-sama bekerja dalam bidang yang sama atau dalam bidang yang berlainan dan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi sama ada dibahagikan tugas atau tidak.”

Persoalan yang timbul bagaimana prinsip harta itu dibahagikan?

Menurut Yang Arif Dato’ Wan Ismail bin Mohammad Salleh ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan terhadap kes Anita binti Abdullah lwn zainuddin hj. Ariffin menyatakan:

1) Jika ada keterangan yang cukup siapa yang mengusahakan harta itu maka hasil itu terpulang kepadanya.

2) Jika tidak ada keterangan yang cukup di atas usaha masing-masing, mereka dikehendaki bersumpah. Apabila bersumpah semuanya, maka harta itu dibahagikan sama banyak juga. Jika semuanya enggan bersumpah maka harta itu terpulang semua kepada yang bersumpah. Jika salah seorang atau semuanya telah mati maka hukum bersumpah itu dipertanggungjawabkan ke atas waris si mati sekiranya waris itu menuntut.

3) Jika berlaku adat kebiasaan bahawa salah seorang daripada suami itu berusaha lebih dari yang lain maka persetujuan pembahagian hendaklah mengikut adat kebiasaan itu. Jika persetujuan tidak didapati maka pembahagiannya adalah seperti (a) dan (b) di atas.[12]

6) Tunggakan Hutang

Selain daripada itu, seseorang isteri boleh membuat tuntutan hutang ke atas bekas suaminya jika didapati bekas suaminya itu tidak membayar mas kahwin, tidak memberi saraan hidup ketika dalam tempoh perkahwinan, tunggakan nafkah anak dan sebagainya. Untuk memudahkan mendapat hak-hak tersebut adalah lebih baik menggunakan peguam. Bagi mereka yang tidak mampu menggunakan khidmat peguam bolehlah membuat permohonan kepada Biro Bantuan Guaman. Semua permohonan itu dibuat kepada Pendaftar Mahkamah Syariah.

Mahar ialah harta yang berhak diterima oleh isteri daripada suaminya dengan sebab berlakunya akad perkahwinan atau hubungan kelamin. Mahar merupakan salah satu kesan yang timbul apabila berlakunya suatu akad perkahwinan. Di Negara kita mahar dikenali sebagai mas kahwin, enakmen pula mentakrifkan sebagai pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah hukum syarak oleh suami kepada isteri pada masa akad nikah, sama ada dalam bentuk wang yang sebenarnya dibayar atau diakui hutang atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut hukum syarak, dapat dinilai dengan wang. Hukum menyebut atau menyatakan mahar semasa akad perkahwinan adalah sunat.

Walaupun mahar wajib dibayar, namun kedudukan mahar bukanlah sebagai rukun ataupun syarat bagi sahnya sesuatu pernikahan. Oleh sebab itu, akad nikah tetap sah walaupun mahar tidak disebut ataupun tidak ditentukan semasa akad. Mahar atau mas kahwin terbahagi kepada dua jenis iaitu mahar yang dinyatakan semasa akad perkahwinan (Mahr Al-Musamma) dan mahar yang tidak nyatakan semasa akad (Mahr Al-Mithli).

Fukaha telah bersepakat menyatakan tentang kewajiban pemberian mahar atau mas kahwin kepada isteri terhadap beberapa keadaan iaitu berlakunya persetubuhan yang sebenar antara suami yang baligh dengan isteri yang boleh disetubuhi dalam suatu akad perkahwinan yang sah walaupun persetubuhan tersebut berlaku dalam masa atau diharamkan oleh syarak, berlaku khulwah sahihah antara suami isteri dalam keadaan tanpa halangan untuk melakukan persetubuhan dan berlakunya kematian salah seorang sama ada suami atau isteri walaupun belum berlaku persetubuhan dan sama ada suami atau isteri itu mampu melakukan persetubuhan ataupun tidak.

Para ulama’ sependapat menyatakan akan gugur separuh mas kahwin sekiranya suatu pencarian itu terjadi sebelum berlakunya persetubuhan dan penceraian tersebut berpunca daripada pihak suami seperti suami yang menjatuhkan talak. Seorang suami tidak wajib membayar apa-apa mas kahwin kepada isterinya, sekiranya penceraian itu berlaku sebelum persetubuhan dan punca penceraian itu adalah daripada pihak isteri.[13]

Kesimpulan

Perceraian adalah perbuatan halal tetapi keji disisi Allah. Perceraian hendaklah dielakkan kerana kesannya buruk kepada keluarga terutamanya anak-anak serta masyarakat. Cara yang paling baik untuk menyelesaikan hak-hak ialah secara perundingan antara suami dan isteri. Penyelesaian secara musyawarah ini akan menjimatkan masa,wang ringgit dan tidak menyusahkan anak-anak. Jika tiada pilihan barulah dibawa ke Mahkamah Syariah dan hak-hak itu hendaklah dituntut jika mempunyai alasan yang cukup.

Islam adalah agama yang adil dan memberi hak pembelaan yang cukup kepada kaum wanita. Oleh itu, tidak timbul soal Islam menindas kaum wanita kerana yang penting ialah wanita Islam perlu bersikap mengambil tahu tentang hak-hak mereka di dalam perkahwinan atau selepas berlaku perceraian. Pencarian ilmu pengetahuan merupakan suatu kaedah terbaik untuk wanita Islam dalam menangani permasalahan yang dihadapi supaya dapat bagi wanita tersebut memperkukuhkan identiti diri.

Rujukan

Dr. Kamil Musa, 1989, Fiqh Wanita : Anak Perempuan, Shah Alam, Penerbitan HIZBI

Najib Ahmad Marzuki Wan Ab. Rahman Khudzri Wan Abdullah, 2006, Undang-Undang & Kerja Sosial Di Malaysia : Kaitan Dengan Pembangunan Keluarga, Sintok, Universiti Utara Malaysia

Prof. Madya Mahmood Zuhdi Hj. Abdul Majid, Raihanah Hj. Azahari, 1989, Undang-Undang Keluarga Islam: Konsep Dan Perlaksanaannya Di Malaysia, Kuala Lumpur, Karya Abazie

Rohaty Mohd Majzub, Muhammad Rais Abdul Karim, 1999, Ibu Tunggal, Selangor, Pelanduk Publication Sdn Bhd

Suzana Ghazali, 2009, Buatmu Wanita, Selangor, Buku Prima Sdn

Ustaz Abd. Latif Muda, Ustazah Rosmawati @ Mat Zin, 1997, Pengantar Fiqh, Kuala Lumpur, Pustaka Salam

Zaini Nasohah, 2002, Perceraian: Hak Wanita Islam, Kuala Lumpur, Utusan Publication & Distribution Sdn Bhd



[1] Najib Ahmad Marzuki Wan Ab. Rahman Khudzri Wan Abdullah, 2006, Undang-Undang & Kerja Sosial Di Malaysia : Kaitan Dengan Pembangunan Keluarga, Sintok, Universiti Utara Malaysia

[2] Zaini Nasohah, 2002, Perceraian : Hak Wanita Islam, Kuala Lumpur, Utusan Publication & Distribution Sdn Bhd

[3] Prof. Madya Mahmood Zuhdi Hj. Abdul Majid, Raihanah Hj. Azahari, 1989, Undang-Undang Keluarga Islam: Konsep Dan Perlaksanaannya Di Malaysia, Kuala Lumpur, Karya Abazie

[4] Ustaz Abd. Latif Muda, Ustazah Rosmawati @ Mat Zin, 1997, Pengantar Fiqh, Kuala Lumpur, Pustaka Salam

[5] Zaini Nasohah, 2002, Perceraian : Hak Wanita Islam, Kuala Lumpur, Utusan Publication & Distribution Sdn Bhd

[6] Ustaz Abd. Latif Muda, Ustazah Rosmawati @ Mat Zin, 1997, Pengantar Fiqh, Kuala Lumpur, Pustaka Salam

[7] Zaini Nasohah, 2002, Perceraian : Hak Wanita Islam, Kuala Lumpur, Utusan Publication & Distribution Sdn Bhd

[8] Najib Ahmad Marzuki Wan Ab. Rahman Khudzri Wan Abdullah, 2006, Undang-Undang & Kerja Sosial Di Malaysia : Kaitan Dengan Pembangunan Keluarga, Sintok, Universiti Utara Malaysia

[9] Rohaty Mohd Majzub, Muhammad Rais Abdul Karim, 1999, Ibu Tunggal, Selangor, Pelanduk Publication Sdn Bhd

[10] Najib Ahmad Marzuki Wan Ab. Rahman Khudzri Wan Abdullah, 2006, Undang-Undang & Kerja Sosial Di Malaysia : Kaitan Dengan Pembangunan Keluarga, Sintok, Universiti Utara Malaysia

[11] Zaini Nasohah, 2002, Perceraian : Hak Wanita Islam, Kuala Lumpur, Utusan Publication & Distribution Sdn Bhd

[12] Prof. Madya Mahmood Zuhdi Hj. Abdul Majid, Raihanah Hj. Azahari, 1989, Undang-Undang Keluarga Islam: Konsep Dan Perlaksanaannya Di Malaysia, Kuala Lumpur, Karya Abazie

[13]Zaini Nasohah, 2002, Perceraian : Hak Wanita Islam, Kuala Lumpur, Utusan Publication & Distribution Sdn Bhd

Nuffnang

Al-Qur'an

Suara Palestin